Kerajaan Lancar Tribunal Antibuli & Penguatkuasaan Akta 876

Isu buli di Malaysia bukan lagi perkara remeh yang boleh disapu ke bawah karpet. Dengan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah setiap tahun, kerajaan hari ini secara rasmi menguatkuasakan Akta Antibuli 2026 bersama peluncuran ibu pejabat Tribunal Antibuli di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.

Akta Antibuli 2026

Berikut adalah 5 perkara paling penting yang wajib semua orang tahu tentang undang-undang baharu ini:

1. Ibu Bapa Boleh Turut Dihukum (Liabiliti Bersama)

Ini adalah pembaharuan paling besar! Berbeza dengan undang-undang jenayah biasa yang hanya menghukum pelaku, Akta Antibuli 2026 memperkenalkan konsep tanggungjawab bersama keluarga. Jika anak (bawah 18 tahun) didapati bersalah membuli, liabiliti atau tanggungan undang-undang termasuk pembayaran denda akan mengikat dan dipindahkan kepada ibu bapa.

2. Apa itu Tribunal Antibuli?

Diwujudkan di bawah Seksyen 25 Akta 876, tribunal ini berfungsi sebagai sebuah badan kuasi-kehakiman (agensi khusus) untuk menyelesaikan kes buli secara komprehensif, pantas, dan mesra kanak-kanak.

  • Keanggotaan: Diterajui oleh seorang Presiden, Timbalan Presiden, dan 56 anggota yang terdiri daripada pakar kanak-kanak, pakar kesihatan mental, serta pakar perundangan.

  • Cara Beroperasi: Walaupun ibu pejabat di KL, perbicaraan boleh dibuat secara fizikal di 6 zon seluruh negara (menggunakan fasiliti sedia ada/mahkamah kosong) mahupun secara dalam talian (online).

Infografik Akta Antibuli 2026

3. Sekolah Kekal Barisan Hadapan, Tetapi...

Jika kes buli berlaku di sekolah atau institusi pendidikan, pihak sekolah bertanggungjawab untuk menyelesaikannya terlebih dahulu. TETAPI, jika ada mana-mana pihak (mangsa/ibu bapa) tidak berpuas hati dengan tindakan atau penyelesaian pihak sekolah, mereka berhak membawa kes tersebut terus ke Tribunal Antibuli.

💡 Nota Penting: Jika kes buli berlaku di luar kawasan sekolah atau asrama, mangsa mempunyai hak untuk terus membuat aduan ke tribunal tanpa perlu melalui pihak pengurusan institusi tersebut.

4. Kuasa Tribunal: Lebih Daripada Sekadar Hukuman

Tribunal ini mempunyai bidang kuasa sivil yang luas untuk memastikan keadilan buat mangsa, antaranya:

  • Mengeluarkan perintah pampasan kewangan kepada mangsa.

  • Mengarahkan pelaku membuat permohonan maaf secara rasmi.

  • Mengarahkan pelaku mengikuti program pemulihan wajib untuk memutus kitaran emosi buli dan mengelakkan kes berulang.

5. Fokus kepada Golongan Bawah 18 Tahun

Buat masa ini, skop Akta Antibuli 2026 terpakai khusus untuk individu berumur 18 tahun ke bawah. Bagaimanapun, kerajaan memaklumkan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop akta ini pada masa hadapan (contohnya ke peringkat universiti atau tempat kerja).

💻 Cara Buat Aduan Online

Bagi memudahkan orang ramai, aduan dan pendaftaran kes boleh dibuat secara terus secara atas talian melalui portal rasmi di: https://tab.bheuu.gov.my/

Post Berkaitan