Separuh Nafas Cinta – Drama Vertikal Eksklusif di TikTok & Tonton

Poster Drama Separuh Nafas Cinta

Nantikan kemunculan drama bersiri vertikal baharu bertajuk Separuh Nafas Cinta, sebuah naskhah penuh konflik keluarga, luka emosi dan cinta yang hadir dalam bentuk tidak dijangka.

Drama 60 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton bermula 1 Disember 2025, dengan dua episod baharu setiap hari pada jam 12.00 tengah hari dan 8.00 malam

Durasi ringkas dua hingga tiga minit setiap episod menjanjikan pengalaman tontonan pantas, padat dan penuh emosi — sesuai dengan trend drama vertikal masa kini.

Info Separuh Nafas Cinta

  • Episod: 60
  • Tarikh Tayangan: 1 Disember 2025
  • Waktu Siaran: Setiap hari, 12 tengah hari & 8 malam
  • Rangkaian: TikTok DramaSangat / Tonton
  • Penulis Skrip: Marr Mohamad
  • Pengarah: Shuhaimi Lua
  • Produksi: Tanah Beris Film Production

Senarai Pelakon

  • Ariana Yusof sebagai Ariana
  • Zazzleen Zulkafli sebagai Juhara
  • Amri Dahlan sebagai Iskandar
  • Amin Sufian sebagai Hariz

Lagu Tema (OST)

  • Tajuk: Benar Indah
  • Penyanyi: Kai Deva
  • Lirik: Firdaus Rahmat

Video Muzik Rasmi

Sinopsis Separuh Nafas Cinta

Ariana (Ariana Yusof) pernah menaruh harapan besar terhadap masa depannya — cinta yang dijanjikan, keluarga yang bersatu, dan sebuah perkahwinan yang sepatutnya menjadi permulaan bahagia. Namun semuanya musnah dalam sekelip mata apabila tunangnya, Iskandar (Amri Dahlan), hilang tanpa khabar menjelang hari akad nikah. Keputusan itu bukan sahaja meremukkan hati Ariana, malah memalukan keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam kekalutan yang tak terduga, Hariz (Amin Sufian), adik kepada Iskandar, terpaksa menjadi “pak sanggup” demi menjaga maruah keluarga. Walaupun perkahwinan itu berlangsung secara tergesa-gesa, Ariana melakukannya dengan syarat bahawa Hariz wajib menceraikannya selepas enam bulan. Hariz akur, namun jauh di sudut hati, dia mula menyimpan rasa simpati dan kekaguman terhadap kekuatan Ariana.

Namun hidup tidak semudah itu. Kehadiran Ariana langsung tidak disenangi ibu mentuanya, Juhara (Zazzleen), yang sejak awal menolak perkahwinan tersebut. Tinggal sebumbung dengan wanita penuh dendam dan prejudis itu, Ariana berdepan tekanan berlapis-lapis — daripada sindiran tajam, ugutan halus, hingga layanan seperti pembantu rumah di dalam keluarga sendiri.

Hari-harinya menjadi medan penderitaan emosi dan fizikal, namun Ariana bertahan demi maruah, harga diri dan janji enam bulan yang harus dipenuhi. Hariz pula semakin gelisah, terperangkap di antara kasih sayangnya terhadap ibunya dan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia melihat bagaimana Ariana disakiti tanpa belas, namun setiap kali dia cuba membela, pertembungan dengan Juhara semakin memburukkan keadaan.

Dalam kekosongan hubungan yang terpaksa, benih perasaan mula tumbuh perlahan-lahan. Hariz belajar memahami luka Ariana, sementara Ariana mula mengenal sisi Hariz yang penyayang dan jujur. Namun, apakah cinta mampu muncul dalam hubungan yang sekadar “separuh nafas”? Dan apabila Iskandar akhirnya muncul semula, mampukah Ariana memilih antara luka lama, masa depan baharu atau kebebasan yang selama ini diidamkan?

Segala persoalan ini akan terjawab dalam Separuh Nafas Cinta, drama pendek tetapi sarat emosi yang pasti membuatkan penonton tidak sabar menantikan tiap episod baharu.

Post Berkaitan